Antara keraguan utama yang menjadi kegelisahan bagi para jemaah umrah ialah adalah pada saat melakukan tawaf yang dimana ketika itu keadaan jemaah lelaki dan perempuan yang bercampur, maka dikhuatiri berlakunya persentuhan yang tidak disengajakan seperti tersentuh kulit jemaah yang merupakan status ajnabi bagi kita. Adakah diperbolehkan sekiranya kita tersentuh perempuan atau lelaki ajnabi ataupun suami isteri kita semasa melakukan ibadah tawaf di depan kaabah? Adakah persentuhan itu membatalkan wudhu jemaah? Sahkah tawaf jemaah tersebut?

Berkaitan dengan soalan-soalan di atas, mengenai adakah batal wudhu jika tersentuh antara lelaki dan perempuan ketika melakukan tawaf, ianya menjadi perkara khilaf dikalangan para ulama.

Di dalam mazhab al-Syafi’e bahawa bersentuhan lelaki dan perempuan tanpa lapik akan membatalkan wudhu sama ada sentuhan itu disertai syahwat ataupun tidak. Begitu juga sama ada sentuhan itu sengaja ataupun tidak ataupun terlupa. Di sisi yang berbeza, Menurut mazhab Hanafi, ianya tidak membatalkan wudhu jika tersentuh di antara lelaki dan perempuan. Sementara pada pandangan mazhab Hanbali dan Maliki pula mereka berpendapat dan berpegang bahawa sentuhan di antara lelaki dan perempuan tidak membatalkan wudhu jika tidak disertai dengan syahwat.

Namun begitu, badan berautoriti yang menguruskan soal ibadah Haji jemaah Malaysia melalui Muzakarah Haji ke-21/1426 H mengatakan boleh beralih dari pendapat syafi’e yang masyhur kepada pendapat syafi’e yang marjuh iaitu tidak batal wudhu jika berlaku persentuhan lelaki dan perempuan tanpa syahwat dalam masyaqqah (kesukaran dan kepayahan) dan haraj seperti kesesakan di tempat tawaf dan lainnya.

Begitu juga ada dinyatakan di dalam buku Soal Jawab Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah yang diterbitkan oleh Bahagian Bimbingan, Lembaga Tabng Haji, yang telah dikemaskini pada tahun 2015 pada halaman 205 menyebutkan: “Tidak batal wudhu jika sentuh tanpa syahwat walau di mana ketika musim haji (dalam keadaan masyaqqah). Maka sah melakukan semua ibadah yang disyaratkan berwudhu.”

Jadi secara kesimpulannya, dapat kami simpulkan bahawa boleh jika bersentuhan ataupun tersentuh yang bukan mahram semasa melakukan ibadah tawaf dengan syarat semasa sentuhan itu berlaku tidaklah sehingga menimbulkan rasa syahwat pada seseorang tersebut. Jika timbul rasa syahwat, maka terbatallah wudhu jemaah tersebut dan perlu untuk mengambil wudhu yang baru. Wallahualam.

Jom kita dengarkan penjelasan yang ringkas daripada PU Amin dalam video bawah ini!

 

 

WhatsApp WhatsApp us