Ada diantara jemaah yang tertanya-tanya, wajibkah bagi jemaah mendatangi dan memasuki Raudah? Kalau sekiaranya jemaah pergi ke masjid Nabawi tetapi tidak menziarahi Raudah, bolehkah? Dan apakah kelebihan yang dijanjikan jika jemaah masuk ke dalam Raudah?

Pertama sekali, penting bagi jemaah untuk tahu bahawa memasuki Raudah tidaklah sampai jatuh kepada hukum wajib menziarahinya, tetapi ianya hanyalah digalakkan sebagaimana yang dituntut dan diajar oleh Baginda Nabi Muhammad S.A.W.

Dalam suatu hadith shahih, Nabi pernah bersabda yang mafhumnya, “diantara rumah aku dan mimbarku ada Raudah (iaitu taman-taman syurga)”. Raudah berasal daripada Bahasa Arab yang bermaksud “taman”. Bilamana Nabi S.A.W. sendiri telah menyebut Raudah termasuk diantara taman-taman syurga, maka pastilah kita semua menginginkan  dan menanam azam untuk menjejakkan kaki ke satu-satunya taman syurga yang ada di dalam dunia ini.

Apabila memasuki Raudah, antara amalan yang amat digalakkan ialah memperbanyakkan berdoa dan kalau lebih beruntung (jika jemaah dapat masuk dalam keadaan orang yang lengang dan tidak bersesak) maka dirikanlah solat sunat didalamnya. Raudah ialah tempat dimana doa-doa manusia tidak akan dihijab dan akan didengar dan dimakbulkan terus oleh Allah Azza wa Jalla.

Selain itu, di dalam Raudah, terdapat satu tiang yang dikenali sebagai Tiang Taubat. Jemaah yang memasuki Raudah adalah digalakkan untuk memohon ampun dan bertaubat di dalamnya. Pastinya segala rintihan dan luahan akan didengar terus oleh Allah, tanpa hijab.

Pun begitu, untuk memasuki Raudah tidaklah semudah seperti yang disangka. Kerana yang ingin memasukinya terlalu ramai daripada kalangan jemaah yang datang. Maka bagi jemaah yang ingin dan menyimpan hasrat untuk masuk ke dalam Raudah, perlukan persediaan mental dan fizikal dan perlu bijak mencari masa yang sesuai.

Ringkasnya, amat rugilah bagi mereka yang menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi tetapi tidak menyempatkan diri untuk menziarahi Raudah disana. Terlebih bagi jemaah yang baru pertama kali datang menunaikan haji ataupun umrah. Ziarahilah Raudah dengan niat untuk mendapat keredhaan dan keampunan Allah, insyaAllah akan dipermudahkan. Wallahualam.

Jom sama-sama kita ikuti penjelasan berkaitan Raudah oleh PU Amin pada video dibawah ini!

 

WhatsApp WhatsApp us