Fenomena membawang ataupun bahasa mudahnya mengumpat memang dah menjadi trend di Malaysia kini. Tak kesahlah tentang isu apa pun, pasti ada sahaja mulut-mulut membawang yang sayup-sayup terdengar. Nak nak lagi dengan keadaan teknologi moden ini, membawang lebih sinonim dilakukan di social media. Ish ish memang tak patut!

Sebenarnya, pada awalnya mungkin niat utama ialah untuk nasihat dan menasihati tetapi apabila terlalu banyak sangat kesalahan yang dicari dan disebutkan haa itulah yang menjerumus kepada mengumpat, bukan menasihat dah!

Dalam suatu hadist shahih, Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang mafhumnya: “maka salinglah kamu ingat memperingati kerana ingat memperingati dan menasihati adalah memberi manfaat kepada orang beriman”.

Jelas, maksud daripada hadist Nabi di atas bahawasanya kita sebagai ummat Islam adalah sangat dianjurkan untuk saling menasihati sesama kita dalam hal kemungkaran. Jika pada suatu keadaan, kita melihat suatu aib daripada seseorang, maka janganlah sampai pula kita mengumpatnya sesuka hati dek perbuatannya yang melampaui batas itu.

Zaman kini, agaknya sudah menjadi trend bagi orang untuk mencari dan mengorek aib seseorang. Terutama sekali apabila isu tersebut melibatkan seorang figura yang terkenal di dalam masyarakat. Niat awalnya mungkin hendak sekadar menegur, tetapi pada akhirnya niat itu terpesong jauh kerana mulut begitu rancak mengatakan hal keburukan orang sehingga tidak menampakkan ada manfaat daripadanya.

Ringkasnya, saling menasihati itu sangat dituntut di dalam Islam. Untuk itu tegurlah dengan hemah dan berhikmah. Jauhilah diri dan keluarga kita daripada amalan buruk suka mengumpat dan membawang. Sukakah kita memakan daging saudara kita sendiri? Tepuk dada, tanyalah Iman. Wallahualam.

 

WhatsApp WhatsApp us