Islam amat menitikberatkan soal kebersihan. Terutama sekali bila ianya berkait dengan soal ibadah. Sebab itu sebelum melakukan ibadah seperti solat, membaca al-Quran memang diwajibkan bagi kita untuk bersuci terlebih dahulu yang mana ianya bertujuan agar diri kita diyakini betul-betul bersih dan suci sebelum melakukan ibadah menghadap Allah SWT.

Selain daripada itu, aspek kebersihan juga tak hanya tertumpu pada kebersihan ketika hendak beribadah sahaja, tetapi juga dilihat daripada konteks hidup bermasyarakat. Sebagai contoh, sebagai seorang insan yang hidup bermasyarakat sudah menjadi tanggungjawab kita untuk selalu menjaga kelestarian dan kebersihan alam sekitar. Perkara ini amat penting untuk diambil cakna oleh semua pihak kerana masalah pembuangan sampah yang tidak terkawal oleh tangan-tangan individu yang tidak bertanggungjawab semakin berleluasa dan ini patut kita tangani secara bersama.

Sesungguhnya, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa kebersihan dan Iman itu sangat berkait rapat dalam diri seorang Muslim. Di dalam hadist shahih Beliau SAW, yang mafhumnya: “Sesungguhnya Kebersihan itu ialah sebahagian daripada Iman”. Melalui hadist ini, dapat disimpulkan bahawa betapa rapatnya kaitan kebersihan dalam menentukan tahap Iman seseorang yang bergelar Muslim.

Analoginya mudah sahaja, jika kebersihan persekitaran dan lingkungan pun tidak diambil kira bagaimana kita mahu menjamin tahap kebersihan seseorang tersebut apabila dia bertemu dan menghadapkan wajahnya kepada Dzat Maha Pencipta, Allah Azza Wa Jalla?

Untuk itu penting bagi kita semua untuk senantiasa menjaga kebersihan diri dan alam sekitar agar diri dan alam kita senantiasa terjaga bersih serta jauh daripada segala penyakit merbahaya.

Jalankanlah tanggungjawab sebagai seorang hamba dan ahli masyarakat yang betul. Jauhkan diri daripada sikap membuang sampah bukan pada tempatnya. Jagalah alam sekitar, demi masa depan anak-anak cucu kita kelak. Wallahualam.

Jom, sama-sama kita dengarkan penjelasan ringkas daripada PU Amin pada video dibawah ini!

 

WhatsApp WhatsApp us