Bagi jemaah haji ataupun umrah, umumnya adalah disunatkan untuk berniat semasa telah berada di Miqat Makani. Miqat makani bermaksud ialah tempat-tempat yang telah ditetapkan untuk berniat ihram bagi para jemaah baik haji mahupun umrah.

Adalah sangat penting bagi para jemaah untuk selalu ingat untuk berniat ihram, supaya tidak terbabas sehingga terlupa untuk berniat ihram dan tanpa sedar rupanya telah melepasi sempadan miqat itu sendiri. Apabila seseorang jemaah itu terlupa untuk berniat ihram ketika telah pun melepasi sempadan miqat, maka ia perlu kembali semula ke tempat miqat makani yang terdekat dengannya untuk berniat ihram semula dan jika dia tidak melakukannya, maka wajib ke atasnya dam (denda) dan berdosa.

Sunat tidak berniat terlalu awal, seperti berniat semasa di rumah atau tempat yang masih jauh daripada miqat. Kecuali jika ada kebimbangan berasas seperti tatkala menaiki kapal terbang dan takut tertidur hingga terlepas miqat dalam keadaan terlupa niat, maka diharuskan berniat awal.

Sunat berniat dengan menghadap kiblat serta dalam keadaan berwuduk. Sunat juga mengiringi niat dengan talbiah. Menurut Imam Asy-Syafi’e, sunat diulangi rangkap talbiah sekurang-kurangnya tiga kali ulang. Selepas talbiah diteruskan disunatkan juga untuk berdoa dan berselawat. Insya Allah, mudah-mudahan diterima sebagai ibadah Haji dan umrah yang mabrur disisi-Nya kelak. Amin.

 

WhatsApp WhatsApp us