Dalam buku Nota Haji & Umrah karangan Ustadz Mohd Hasnil Abu Bakar, beliau memetik pandangan Syeikh Abdul Halim Mahmud, bahawasanya antara simbol berpisahnya seseorang itu dengan kisah silam dan kehidupannya dan bersedia untuk episod baharu, maka hendaklah dia menanggalkan pakaian kebiasaan yang selalu dipakai lalu memakai pakaian sederhana suci putih (ihram).

Memakai pakaian putih mendapat dua pahala sunat iaitu:

  1. Pahala memakai pakaian yang elok
  2. Pahala warna yang afdhal iaitu warna putih

Mengerjakan ibadah dalam pakaian serba putih mendorong untuk lebih memelihara kejernihan hati dan menukar keburukan dengan kebaikan dengan melakukan azam yang bersungguh-sungguh di hadapan Allah SWT.

Hikmah dan falsafahnya agar kita sentiasa ingat asal kita, tujuan yang asal, perjalanan asal kita adalah menuju dan kembali kepada-Nya. Satu warna yang sama dengan pakaian kafan jenazah yang akan memasuki alam kubur, gerbang pertama kita menuju alam akhirat.

Mudah-mudahan kita menjadi hamba-Nya yang mendapat keampunan serta dikabulkan segala doa. Amin. Wallahualam.

WhatsApp WhatsApp us