Miqat secara umumnya ada dua iaitu miqat masa dan miqat tempat. Ataupun biasanya lebih dikenali dengan istilah miqat zamani dan miqat makani.

Miqat masa untuk umrah ialah sepanjang tahun. Adapun miqat tempat pula berdasarkan dari arah mana jemaah umrah/haji itu datang dan masuk ke Tanah Haram Makkah al-Mukarramah. Antara tempat-tempat bermiqat yang telah ditetapkan ialah:

  1. Yalamlam

Iaitu Miqat bagi penduduk Yaman, India dan negeri-negeri sebelah timur termasuk Malaysia dan Indonesia yang datang melalui kapal laut. Yalamlam ialah nama sebuah bukit di tepi laut Merah di dataran Semenanjung Tanah Arab dan jaraknya dengan Makkah lebih kurang 89 kilometer.

  1. Bi’ru Ali – Abyar Ali (Dzulhulaifah)

Miqat bagi penduduk Madinah dan sekitarnya serta jemaah yang bermukim di sana. Jaraknya dengan Mekkah lebih kurang 450 kilometer dan lebih kurang 10 dari Madinah.

  1. Al-Juhfah (berdekatan Rabigh)

Miqat bagi penduduk-penduduk Syam, Mesir Maghribi, Sepanyol dan negeri-negeri dari arahnya. Jaraknya dengan Makkah lebih kurang 187 kilometer.

  1. Qarnul Manazil

Miqat bagi penduduk-penduduk Kuwait, Najd dan jemaah dari Nusantara yang datang dengan kapal terbang. Jarak jauhnya dengan Makkah lebih kurang 94 kilometer.

  1. Dzatul ‘Irq

Miqat bagi penduduk Iraq, jaraknya dengan Makkah lebih kurang 94 kilometer.

Sementara itu, miqat bagi mereka yang sudah bermukim di Mekah ialah “tanah halal” yang berhampiran. Contoh antara tempat-tempat miqat di area tanah halal yang terdekat ialah Tan’im, Jaaranah, Hudaibiyah, Arafah dan Qarnu Manazil.

Ringkasnya, bagi seseorang yang masuk ke Mekah dengan ihram tetapi tidak berniat maka perbuatannya itu dikenakan dam tertib dan taqdir iaitu dengan menyembelih seekor kambing. Jika tidak mampu, maka dia hendaklah berpuasa sepuluh hari, tiga hari di Makkah dan tujuh hari apabila pulang ke tempat masing-masing. Berdosa baginya jika sengaja dengan tidak berniat miqat, wajib bertaubat bersungguh-sungguh jika mahu manasik yang mabrur. Wallahualam.

Sumber: Nota Haji & Umrah, Ustadz Mohd Hasnil Abu Bakar

 

 

WhatsApp WhatsApp us