Melakukan ibadah umrah di Tanah Suci pastilah antara perkara yang sangat idamkan oleh kebanyakan umat Islam. Nak lagi apabila impian yang didambakan telah datang di depan mata, maka pastilah peluang keemasan tersebut tidak akan disia-siakan. Sampaikan ada jemaah umrah yang sanggup mengerjakan umrah bukan sahaja dua atau tiga kali tetapi sampai tujuh kali demi meraih pahala umrah yang dijanjikan. Masya Allah!

Persoalannya kini, apakah umrah berulang-ulang kali itu diperbolehkan dan adakah kenyataan umrah tujuh kali bersamaan dengan satu pahala haji itu benar atau sekadar auta?

Pertama sekali, suka untuk kami sampaikan bahawa ibadah umrah ini sesungguhnya suatu ibadah yang memerlukan perjalanan yang jauh dan panjang bahkan mengambil masa berhari-hari lamanya. Disebabkan hal ini, bagi jemaah umrah yang datang daripada negara-negara yang jauh dengan Arab Saudi pasti akan memanfaatkan kesempatan ini dengan sebaiknya dengan berusaha menunaikan umrah sebanyak mungkin yang mereka mampu.

Perkara ini sebenarnya terdapat khilaf di kalangan ulama. Terdapat dua pandangan berkaitan hukum mengerjakan ibadat umrah berulang kali dalam satu perjalanan. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukumnya ialah Makruh kerana ianya bercanggah dengan amalan Nabi Muhammad SAW yang melakukan umrah empat kali dalam empat waktu yang berbeza. Manakala, pandangan sebahagian lainnya pula berpendapat bahawa mengerjakan umrah berulang kali dalam satu musim/perjalanan diharuskan dan tiada masalah tentangnya.

Sementara itu, Ibn ‘Abd al-Barr pula menyatakan bahawa jumhur ulama berpandangan harus hukumnya memperbanyakkan umrah dalam masa sehari semalam, kerana ianya amalan kebajikan. Tidak wajib menghalangnya melainkan dengan dalil, dan tiada dalil yang menghalang memperbanyakkan umrah. Imam Ibn Qudamah pula menyebut bahawa menurut mazhab Syafi’e dan Hanbali, tiada halangan untuk melakukan umrah berulang kali dalam tempoh setahun. Mereka juga berdalilkan melalui keumuman hadith kelebihan umrah, iaitu hadith riwayat Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْعُمْرَةُ إِلَى الْعُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ الْمَبْرُورُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ

MaksudnyaTempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga.

Disamping itu, berkenaan dengan kenyataan bahawa mengerjakan umrah sebanyak tujuh kali bersamaan dengan satu pahala haji itu ialah suatu kenyataan yang dusta dan tidak betul. Bahkan ianya tidaklah termasuk di dalam hadith sahih berkaitan ibadah umrah. Hanya sahaja, sebagai hamba, tentunya kita perlu yakin kepada Allah SWT, bahawa setiap amal kebajikan yang dilakukan pasti akan mendapat pahala di sisi Allah SWT, terlebih lagi jika amalan-amalan tersebut dilakukan di Tanah Suci maka pastilah lebih berlipat kali ganda pahala yang diperoleh. Wallahulam.

WhatsApp WhatsApp us