Taif ialah sebuah bandar kecil yang terletak di bahagian barat Arab Saudi. Dengan persekitarannya yang nyaman dan dingin, Taif tak serik menjadi salah satu tempat kunjungan antara yang popular di kalangan jemaah haji dan umrah.

Suasana dan keadaaan suhu di Taif yang sentiasa sejuk dan dingin juga menjadikan tanah di bandar tersebut subur sehingga kota Taif terkenal sebagai bandar penghasil buah-buahan yang segar seperti anggur, strawberry, delima, buah zaitun, bunga mawar madu dan lainnya. Dek kerana cuacanya yang sejuk dan dingin, ia sentiasa menjadi kunjungan dan pilihan orang ramai untuk singgah kerana kebiasaannya cuaca di tempat lain seperti Mekah yang panas terlebih bila musim panas tiba.

Disamping itu, selain buah-buahan yang segar-bugar kota Taif juga menyimpan 1001 sejarah silam yang tersendiri kerana di kota itulah penyaksian perjalanan dakwah Nabi Muhammad SAW ke Taif pada suatu masa dahulu, yang mana ketika itu Nabi Muhammad SAW mendapat tentangan hebat daripada kaum Quraisy. Namun apa yang menyedihkan ketika itu, dakwah Nabi SAW tidak diterima dengan baik bahkan dicemuh dan diejek, akhirnya Nabi kembali ke Mekah seterusnya mulai berhijrah ke Madinah.

Lazimnya, agensi pengendali umrah akan maklumkan kepada jemaah mengenai kunjungan ke Taif. Caj dikenakan adalah sekitar SR130 hingga SR150 seorang, yang merangkumi lawatan ke beberapa tempat bersejarah dan makan minum kerana perjalanan ke Taif selalunya memakan masa sehari suntuk lamanya.

Destinasi lawatan termasuk, Masjid Abdullah bin Abbas, kebun Addas, Masjid Kuk atau dikenali sebagai masjid siku, al-Qantarah dan al-Madhun, rumah Abdullah bin Abbas, Muzium As-Shariff, kilang minyak wangi, pasar buah dan Masjid Qarnul Manazil.

Antara kunjungan utama semestinya Masjid Abdullah bin Abbas, yang mana beliau merupakan salah seorang sahabat terdekat Nabi dan juga merupakan bapa saudara Rasulullah SAW. Di situ juga terletak makam Abdullah bin Abbas dan syuhada Taif. Kebiasannya, Jemaah selalu diberi masa untuk bersolat sunat. Berhampiran masjid itu juga terletak sebuah perpustakaan tetapi jarang dibuka. Tak lupa juga untuk singgah di rumah Abdullah bin Abbas. Rumah itu terletak kira-kira 2.7 km dari masjid Abdullah bin Abbas. Difahamkan bapa saudara Rasulullah itu berjalan setiap hari untuk ke masjid berkenaan

Selain itu, jemaah juga akan dibawa ke kebun Addas, yang suatu ketika dahulu ditanami anggur dan delima. Addas, adalah seorang yang beragama Nasrani yang berasal dari Iraq. Ketika Rasulullah berkunjung ke Taif, Addas memberi anggur kepada Nabi Muhammad. Ketika hendak makan, Rasulullah membaca Bismillah sehingga menyebabkan Addas terkejut kerana tidak pernah mendengar ucapan itu lantas bertanya agama Rasulullah. Sejurus Rasulullah mengatakan Islam, Addas merangkul dan mencium tangan baginda dan seterusnya memeluk Islam. Tertulis didalam sejarah bahawa Addas adalah orang pertama yang memeluk Islam di Taif pada masa itu.

Kemudian, antara destinasi pilihan lainnya di Taif ialah ziarah ke Al-Qantarah dan Al-Madhun iaitu titik air yang dibina pada zaman pemerintahan Uthmaniah. Kilang minyak wangi ros antara yang menjadi tumpuan khususnya jemaah wanita yang berebut-rebut nak membeli bedak, losen dan haruman.

Bila dah sampai di Taif, rasa tidak lengkaplah jika tidak singgah untuk membeli buah-buahan segar maka Pasar buahlah menjadi pilihan utama. Di pasar buah itu, terdapat banyak sekali buah-buahan segar dan antara yang menjadi pilihan jemaah biasanya anggur, delima, buah zaitun dan limau.

Jadi, buat jemaah yang berhasrat untuk menunaikan umrah nanti, terutama sekali buat mereka yang baru pertama kali mengerjakan umrah, jangan lepaskan peluang untuk berziarah ke Taif, insya Allah, banyak pengajaran yang akan diperoleh sepanjang perjalanan itu nanti! Wallahulam.

Jom sama-sama kita tonton video perjalanan ke Taif dibawah ini!

 

WhatsApp WhatsApp us