Ibadah haji dan umrah adalah ibadah mulia yang tinggi ganjarannya disisi Allah SWT. Maka adalah sebaiknya bagi sesiapa yang ingin menunaikan ibadah tersebut perlu betul-betul mengerjakannya dengan bersungguh-sungguh tak hanya daripada segi amal ibadah yang dilakukan, bahkan tingkah laku dan adab pun perlu dijaga sepanjang umrah demi mendapat umrah yang Mabrur.

Perkara berkaitan akhlak seseorang sepanjang perjalanan di Tanah Suci bukanlah perkara yang boleh dianggap remeh. Akhlak seseorang itu sesungguhnya menunjukkan diri sebenar seseorang tersebut. Rasulullah SAW adalah satu-satunya contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Sikap dan akhlak Baginda tersangat mulia dan menjadi ikutan bagi umat manusia. Sebagaimana Allah Taala telah berfirman di dalam al-Quran, yang mafhumnya:

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik bagi kamu iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari Akhirat, serta ia juga banyak menyebut dan memperingati Allah (dalam masa susah dan senang)” – al Ahzab: 21.

Antara akhlak-akhlak yang perlu diperhatikan sepanjang di Tanah Suci ialah menjaga diri daripada segi tutur bicara dan perbuatan. Seeloknya bagi seorang yang sedang berada dalam keadaan ihram perlulah menjaga lisannya dari berkata-kata kesat ataupun kotor. Hindarilah jua daripada perbicaraan yang tidak mendatangkan faedah. Jika sudah berada di Tanah Suci nanti maka perbanyakkanlah berzikir dan berdoa, sesungguhnya itulah yang terbaik.

Disamping menjaga tutur bicara, perlakuan dan juga adab perlulah jua ada batasannya. Perbanyakkanlah bersyukur atas semua nikmat yang diperoleh berbanding mengeluh atas ketidaksempurnaan sepanjang berada disana. Beramah mesralah sesama jemaah umrah dan jauhkan daripada melakukan perkara yang dapat menyakiti hati jemaah yang lain.

Ringkasnya, akhlak merupakan bunga diri. Dengan melakukan akhlak-akhlak terpuji maka secara tidak langsung ianya dapat menjauhkan diri seseorang tersebut daripada perkara mungkar lagi terkutuk. Tambahan pula dengan melakukan perkara kebaikan juga dapat menjauhkan seseorang tersebut jauh daripada godaan hawa nafsu dan amarah. Semoga dengan berterusannya akhlak-akhlak terpuji yang dilakukan akan memberikan sebuah rasa kemanisan iman yang tiada ternilai setibanya jemaah di tanah air nanti. Wallahualam.

 

WhatsApp WhatsApp us